Suami isteri didakwa edar dadah

Suami isteri didakwa edar dadah
Mohd Firdaus dan Safina diiringi polis ketika di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, hari ini. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup kerana mengedar dadah oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Tertuduh, Mohd Firdaus Mohd Zamri, 35 tahun, dan Safina Ismail, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif atas pertuduhan mengedar heroin.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu mengedar dadah jenis heroin seberat 150 gram pada 15 Nov lalu pada pukul 9.30 pagi di sebuah rumah beralamat No 52, Lorong Jati 65C, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh digantung sampai mati atau dihukum penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.

Sebelum itu, pasangan yang sama didakwa di Mahkamah Sesyen 2 kerana memiliki 10 gram dadah jenis heroin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1983 yang boleh dihukum dibawah Sekyen 39A(2) akta yang sama. Mereka boleh dipenjara seumur hidup dan dihukum 10 sebat jika disabit kesalahan.

Mohamad Fared kemudian menetapkan 13 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Geetha Joora Singh.

Mohd Firdaus dan Safina ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Hasil serbuan itu, polis menemui satu beg berwarna merah di atas lantai bilik yang mengandungi 11 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin.

Polis turut menemui satu bungkusan plastik hitam di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord di mana di dalamnya terdapat 160 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan, juga disyaki dadah heroin.




Tag: dadah, edar dadah, heroin


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.