Polis menahan sepasang suami isteri selepas mengeluarkan dan menggunakan wang berjumlah RM52,000 milik seorang pembantu restoran tanpa pengetahuan wanita berkenaan sejak tahun lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 57 dan 52 itu ditahan di bandar ini semalam selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 41 tahun pada mulanya meminta jirannya yang dikenali sebagai Kak Pah untuk memeriksa baki di dalam akaunnya.

"Mangsa kemudian menyerahkan kad ATM BSN miliknya kepada Kak Pah untuk tujuan berkenaan pada 25 Mei tahun lalu. Bagaimanapun selepas itu, suspek tidak memulangkan kad ATM berkenaan walaupun beberapa kali mangsa meminta kad berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kali mangsa meminta kad ATM berkenaan, suspek didakwa memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah dan mangsa hanya diberikan duit sebanyak RM50 sebulan.

"Mangsa yang tidak berpuas hati pergi ke BSN (di Kuantan) semalam untuk memeriksa bagi akaun dan mendapati duitnya sudah hilang sebanyak RM52,000," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas mendapat laporan polis, sepasukan polis dari IPD Kuantan kemudian berjaya menahan kedua-dua suspek kerana dipercayai mengeluarkan duit mangsa tanpa kebenarannya.

"Suspek juga dipercayai menggunakan wang berkenaan untuk kegunaan harian dan mengeluarkan wang berkenaan secara berperingkat tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman di IPD Kuantan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.