'Di mana ada kemahuan di situ ada jalan'.

Bepegang kepada prinsip itu, pasangan suami isteri dari Kampung Pida 5 dekat Jerlun, Kedah yang terputus mata pencarian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enggan berputus asa.

Nazarudin Abd Rahman, 31, berkata restoran tempatnya bekerja di Alor Setar ditutup sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu, menyebabkan dia dan isterinya, Ummi Syafiqah Mansor, 24, tidak mempunyai sumber rezeki lain.

Kebimbangan utama bagi mereka adalah keperluan dua anak berusia empat tahun dan tiga bulan.

Katanya, berbekalkan RM50 sebagai modal, kedua-dua mereka memulakan perniagaan martabak dan roti canai di hadapan rumah sendiri, dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan kaedah bayar waktu terima (COD).

Nazarudin yakin pengalamannya belajar membuat roti canai sewaktu berkerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur, beberapa tahun lalu tidak sia-sia dan mampu menghasilkan pendapatan dalam waktu sekarang.

"Bagi saya yang tidak ada kerja ini, saya guna apa sahaja kelebihan yang ada untuk buat apa yang boleh. Asalkan tidak mencuri. Boleh tampung sedikit sebanyak keperluan kami terutama susu anak sudah memadai buat permulaan," ujarnya.

Dia bersyukur martabak dan roti canai itu mendapat permintaan tinggi, terutama dari Kampung Pida 5 dan kawasan kampung lain berdekatan.

Dengan permulaan hanya dua kilogram (kg) tepung sehari, kini permintaan telah meningkat sehingga 10 kg tepung

"Kami menganggap permintaan ini sudah cukup tinggi ketika waktu PKP. Memang semua orang takut hendak keluar rumah jika tiada keperluan. Jadi, kami pun menyediakan perkhidmatan penghantaran," ujarnya.

Sementara itu, penghantaran tempahan martabak dan roti canai itu diuruskan adik iparnya Siti Sarihah Musa, 26, dengan mengenakan kos penghantaran bermula RM1 sehingga RM5 bergantung kepada lokasi.

"Saya sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan dan kebersihan setiap kali melakukan penghantaran bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19," katanya.