Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Mersing pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward Nuing berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Hanafi Ismail dan isterinya Salimah Mohd Syafie.

Menurut Cyril, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Dipercayai, dalam kejadian sekitar jam 9.25 malam itu, empat motosikal berkuasa tinggi terbabit telah bertembung dengan sebuah MPV Perodua Alza dari arah bertentangan ketika melalui selekoh.

Pasangan suami isteri itu mengikuti konvoi 20 motosikal berkuasa tinggi dari Terengganu ke Desaru sempena International Desaru Bike Week, manakala kereta Alza pula dari Johor Bahru menuju ke Endau, Mersing.

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal cedera parah dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Mersing untuk rawatan.

Dua motosikal lain sempat mengelak dan membrek lalu terjatuh sendiri.

Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.