Sepasang suami isteri yang pulang dari membeli sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Wakaf Che Yeh, maut dalam satu kemalangan awal pagi tadi.

Nahas berlaku di Jalan Salor-Kota Bharu, sekitar jam 4 pagi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sazarim Mat Nawi, 31 tahun dan isterinya Malisa Ismail, 27 tahun.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki pasangan berkenaan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Kenderaan jenis Perodua Kancil dinaiki mangsa remuk teruk akibat bertembung dengan kenderaan lain - Foto PDRM

Pemandu kereta Waja disahkan mengalami kecederaan.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Kebangsaan (HUSM) Kubang Kerian.