Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri kerana disyaki meminta suapan bernilai kira-kira RM16,000 bagi mendapatkan projek di sebuah agensi kerajaan.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia antara 33 dan 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir untuk memberi keterangan, pada Selasa.

Mereka ditahan secara berasingan antara pukul 4.30 petang dan 6.30 petang.

Jelas sumber itu, suspek yang berkhidmat sebagai penolong jurutera di agensi kerajaan tersebut dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik syarikat berkenaan.

Wang itu dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank milik isterinya sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan sebarang kerja dan tender yang dikeluarkan agensi itu.

"Suspek juga berperanan untuk memperakukan kerja yang dilakukan oleh syarikat tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah mengesahkan tangkapan tersebut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Katanya lagi, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah reman.