Seorang lelaki maut selepas dilanggar kereta yang dipandu isterinya di perkarangan rumah mereka di Taman Intan dekat Batu Gajah di sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Chan Moi Chai, 68, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya berusia 65 tahun tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Supt Tan Boon Hooi, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu, wanita terbabit yang baru pulang dari Pasar Batu Gajah gagal mengawal kereta jenis Toyota Corolla ketika sedang mengundurkan kenderaan itu.

"Wanita itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh tiang rumah dan melanggar suaminya yang berada di belakang," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa yang tidak sempat mengelak meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran itu. -- Bernama