Suasana di kedutaan Korea Utara di sini sunyi sejak pagi tadi, hanya beberapa kenderaan milik kedutaan itu dilihat keluar masuk premis berkenaan.

Wartawan daripada pelbagai media tempatan dan luar negara, termasuk Korea Selatan dan Jepun, berada di kawasan kedutaan itu seawal 9 pagi untuk mendapatkan maklumat terkini.

Pihak media cuba mendapatkan maklum balas daripada pegawai di situ namun tiada maklum balas positif diberikan.

Kedutaan Korea Utara di Malaysia menjadi tumpuan berikutan kematian Kim Jong-nam iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, Isnin lepas.

BACA: Empat suspek pembunuhan Kim Jong Nam telah meninggalkan negara ini - Polis

Dilaporkan sebelum ini, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Beliau dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital di Putrajaya. -- Bernama