KUALA LUMPUR:Majlis Perbandaran Subang Jaya diisytihar menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya berkuat kuasa pada Selasa.

Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, pengisytiharan itu mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Dalam masa yang sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Subang Jaya.

"Perkara itu mengikut Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Kata Amirudin, Kerajaan Negeri merafak sembah menjunjung kasih Sultan Selangor di atas perkenan yang diberikan dan berharap dengan pemasyuran Majlis Bandaraya Subang Jaya ini, pembangunan mapan bandar itu.

Pembangunan mapan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.