Kerajaan sepatutnya menghentikan semua subsidi apabila harga minyak mentah dunia jatuh di bawah AS$40 setong, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kejatuhan harga minyak memberi kesan ketara terhadap hasil negara yang digunakan bagi membiayai sebahagian subsidi demi kesejahteraan rakyat.

"Keupayaan kerajaan mengekalkan subsidi adalah kerana kemampuannya menguruskan kewangan negara dengan baik walaupun sebahagian subsidi terpaksa ditarik berperingkat-peringkat," kata Annuar.

Annuar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini pada Ahad sempena program jelajah beliau untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu semasa.

Menjawab persoalan

Mengenai Malaysia yang dilaporkan antara 10 negara paling korup di dunia, Annuar berkata tuduhan itu lebih bersifat persepsi kerana tuduhan sama juga dibuat semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Cabaran kita ialah bagaimana hendak membanteras rasuah. Penguatkuasaan sahaja tidak cukup kerana budaya rasuah memerlukan kerjasama semua pihak untuk dihapuskan," katanya.

Menjawab soalan lain, Annuar berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lebih 30 tahun membuka ruang kepada golongan muda untuk aktif berpolitik dan sekali gus menyangkal dakwaan bahawa pembangkang lebih dahulu melaksanakannya.

Beliau turut menyangkal dakwaan ada pemimpin UMNO menghalang pembinaan lebuh raya rakyat dari Machang-Kuala Krai sepanjang 40 kilometer yang dicanangkan oleh kerajaan PAS Kelantan.

"Rakyat sepatutnya fikir logik projek tersebut. Mampukah rakyat Kelantan menyumbang RM1 bilion untuk melaksanakan projek itu sedangkan bajet tahunan negeri hanya antara RM800 juta hingga RM900 juta sahaja," kata Annuar.

Beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula menaja 230,000 pelajar dengan bantuan berjumlah RM2 bilion setahun namun banyak fitnah dilemparkan terhadap agensi itu dan dirinya.

"Pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli pernah menyebar video seorang pelajar yang hidup susah kerana tidak mendapat biasiswa seolah-olah Mara mengabaikan nasib pelajar tersebut.

"Fitnah seperti ini atau yang separuh benar adalah mainan pembangkang hanya untuk menjejaskan kredibiliti kerajaan BN," tambahnya.

-- BERNAMA