Penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah dianggap lebih beruntung apabila pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) oleh Kerajaan kelak.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai berkata walaupun golongan berpendapatan rendah di negeri-negeri di Pantai Timur itu dikecualikan dalam pelaksanaan PSP, mereka tetap akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter.

Ia susulan kerajaan mengambil kira keperluan yang kebanyakan daripada mereka menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

“Sebenarnya di Sabah dan Sarawak, mereka menerima faedah yang lebih baik. Mereka lebih beruntung kerana semua dapat menikmati manfaatnya, tidak kira kaya atau miskin.

“Di situ, harga RON95 dan diesel tidak akan berubah apabila PSP dilaksanakan. Mereka masih akan terus menerima subsidi secara umum seperti sekarang.

“Tetapi di Semenanjung Malaysia, hanya golongan yang layak mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) sahaja yang akan menerima bantuan PSP,” kata Barjoyai ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Tambah beliau, kaedah yang digunakan menerusi pelaksanaan PSP ini menepati sasarannya tetapi ia akan memberikan kesan negatif kepada sesetengah golongan di Semenanjung Malaysia, khususnya golongan yang tidak layak untuk mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Pelaksanaannya agak mudah kerana ia akan menghapuskan subsidi dan mengapungkan harga petrol RON95 secara beransur-ansur sehingga setara dengan harga pasaran.

“Tetapi bagi pengguna petrol RON95 yang sebelum ini boleh membeli petrol tersebut pada harga subsidi dan secara tiba-tiba mereka perlu bayar harga pasaran, mereka akan terkejut dan boleh menyebabkan mereka berasa tergugat,” katanya.

BACA: Tidak boleh beri subsidi kepada yang kaya - Tun Mahathir

Katanya lagi, beliau melihat PSP sebagai projek percubaan dan ia perlu diperbaiki dengan menambahkan golongan yang akan diberikan subsidi petrol bersasar.

Pada Isnin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PSP akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan membabitkan kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal kepada kira-kira 2.9 juta penerima.