Tutup

Subway Malaysia tidak terlibat kes guna bahan kimia tikar yoga dalam roti

Subway Malaysia tidak terlibat kes guna bahan kimia tikar yoga dalam roti
Subway Malaysia menggunakan roti dari pembekal tempatan.
KUALA LUMPUR: Subway Malaysia berkata restoran makanan segera itu tidak terlibat dengan kes penggunaan bahan kimia merbahaya yang dikenali sebagai 'azodiacarbonamide' di dalam roti keluaran syarikat itu di negara ini.

"Kami tidak dapat memberi sebarang komen tentang isu ini. Ini juga kerana bahan-bahan yang digunakan berbeza dari Amerika Syarikat. Subway Malaysia menggunakan roti dari pembekal tempatan," kata seorang kakitangan Subway Malaysia yang enggan dinamakan ketika dihubungi Astro AWANI. 

Menurut laporan terbitan USA Today, syarikat sandwic dari Amerika Syarikat itu sedang dalam proses untuk tidak menggunakan 'azodiacarbonamide' di dalam roti mereka setelah seorang blogger Vani Hari dari laman web FoodBabe.com memulakan petisyen setelah mendapati syarikat berkenaan menggunakan kimia itu.
Subway

Beliau mendakwa bahan kimia yang sama digunakan untuk meningkatkan keanjalan untuk tikar yoga dan kasut getah.

"Kami dalam proses untuk mengeluarkan bahan berkenaan atas usaha kami untuk meningkatkan mutu roti-roti kami walaupun bahan berkenaan mendapat lulusan Jabatan Pertanian (USDA) dan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA)," kata syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan.
Penggunaan 'azodiacarbonamide' dilarang di United Kingdom, Eropah dan Australia.

Di Malaysia, berita ini mula menjadi hangat pada malam Khamis dan awal pagi tadi susulan laporan dari beberapa laman web Amerika Syarikat.


Di Facebook Subway Malaysia, ada beberapa pelanggan juga bertanyakan tentang isu ini.

"Benarkah Subway Malaysia menggunakan 'Azodicarbonamide' di dalam roti," tanya seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Abang Yusry.

Boon Feng pula berkongsi link berita sebut di laman Facebook Subway Malaysia. Namun admin Page berkenaan tidak memberi sebarang jawapan mengenai isu ini.