Kegiatan sebuah kumpulan yang sudah melakukan kira-kira 20 kes pecah rumah di sekitar daerah Pendang dan Kota Setar akhirnya ditumpaskan pihak berkuasa.

Sindiket yang dikenali dengan nama ‘Geng Kacang’, dan aktif dalam aktiviti jenayah berkenaan sejak Januari tahun ini tumpas apabila sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang bertindak menyerbu sebuah rumah di Kampung Batu Menunggul, Pendang.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah, ketua sindiket atau dalang yang dikenali sebagai ‘Kacang’ turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Selepas ujian saringan air kencing dilakukan, ketiga-tiga suspek positif dadah jenis metamfetamin dan morfin.

Hasil soal siasat yang dilakukan keatas ketiga-tiga suspek mendapati, mereka telah melakukan enam kes pecah rumah di sekitar daerah Pendang dan 14 kes pecah rumah sekitar Kota Setar, Kedah.

Ketiga-tiga mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau di bawah pelbagai kesalahan jenayah termasuk satu kes berkaitan dadah.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan kepada kawasan-kawasan perumahan yang tidak berpenghuni, ataupun rumah taman yang dijadikan homestay.

“Mereka ni akan mula lakukan kegiatan pecah rumah bermula jam tiga petang sehingga 12 tengah malam,” ujar Arriz Sham.

Hasil serbuan yang dilakukan, pihak polis berjaya merampas peralatan pecah rumah dan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang digunakan bagi melakukan kegiatan pecah rumah.

Turut dirampas enam buah televisyen, sebuah tablet, sebuah komputer riba dan sebuah ketuhar elektrik yang disyaki hasil dari kegiatan pecah rumah.

Menurut Arriz lagi, anggaran kerugian dari enam kes pecah rumah di Pendang adalah hampir RM10,000.

Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga denda.