Kerajaan perlu melihat beberapa isu berkaitan perairan Malaysia di Laut China Selatan dengan lebih serius dan memerlukan anjakan paradigma yang lebih berkesan.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, sudah tiba masanya beberapa isu seperti pecerobohan nelayan asing dan tentera laut milik negara China diselesaikan.

“(Cobtohnya) masalah pencerobohan berterusan kapal-kapal tentera laut milik negara China secara besar-besaran yang mencabar kedaulatan perairan negara di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), dan berpotensi mengganggu operasi cari gali petroleum.

“Masalah pencerobohan berterusan nelayan Vietnam secara besar-besaran di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang yang pada masa kini bukan sahaja mengganggu sumber perikanan negara, malah mengancam nyawa secara fizikal nelayan tempatan dengan adanya laporan dengan mencabar menunjuk senjata. Industri Petroleum negara berpusat diperairan Terengganu dan Kelantan," katanya yang dihubungi oleh Astro AWANI.

Tambahnya masalah pengganas seperti lanun di perairan Sabah juga perlu penyelesaian yang lebih efektif berbanding sebelum ini.

“Saya fikir kita masih kekurangan dari segi sovereignty presence (kehadiran efektif pihak berkuasa yang memberi isyarat kekukuhan kedaulatan Malaysia) sama ada infrastruktur atau fleet maritime, laut atau udara serta saiz pasukan di Laut China Selatan yang mempertegaskan kekuasaan dan kedaulatan negara terhadap perairan yang menjadi milik negara.

"Laut China Selatan dikatakan mempunyai anggaran rizab hasil petroleum bernilai lebih AS$3 trilion.

“Mungkin juga ada pendekatan berbeza perlu diambil yang memberi isyarat bahawa kita lebih tegas dan keras dalam menangani pencerobohan nelayan Vietnam, selain diplomasi hubungan dua hala dengan negara berkenaan,” jelasnya.

Pendekatan berbeza katanya, perlu diambil yang memberi isyarat bahawa Malaysia lebih tegas dan keras dalam menangani pencerobohan nelayan Vietnam selain meja diplomasi hubungan dua hala dengan negara berkenaan.

Ia katanya mungkin perlu tambahan penggunaan teknologi dan inovasi dalam pengawasan, misalnya teknologi remote sensing, satelit, dron, bot pemintas pantas, dan bot peronda yang lebih maju, serta pangkalan tentera tengah laut sama ada di platform cari gali yang sudah tidak digunakan atau kapal induk.