Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan bahawa merosakkan undi bukan penyelesaian yang wajar untuk pengundi yang sedang kecewa dengan sistem sedia ada.

Sepertimana diketahui umum, hak untuk mengundi adalah suatu hak asasi manusia yang tidak boleh dirampas dari seseorang, kata Jerald Joseph, Pesuruhjaya Suhakam.

"Maka dari segi ini, apa jua pilihan yang dibuat semasa membuang undi itu adalah hak pengundi itu secara mutlak. Ini termasuk juga pilihan untuk merosakkan undinya sendiri dengan sengaja.

"Namun begitu, merosakkan undi sendiri bukanlah suatu penyelesaian yang wajar bagi mereka yang kecewa dengan pilihan demokrasi sedia ada," katanya.

Sekiranya pengundi merosakkan undi, kata Jerald, kesannya atau net effect kepada isu ini adalah, calon yang akan menang tetap akan menang, tanpa mendapat sokongan majoriti pengundi kawasan itu.

Menurutnya, isu merosakkan undi adalah isu yang sememangnya berprinsipkan kepada topik demokrasi.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus sedar ramai yang sedang kecewa dengan fenomena politik di negara kita. Tetapi penyelesaian kepada isu ini harus dilaksanakan dengan cara yang betul, iaitu membentuk negara melalui proses demokrasi yang adil dan saksama.

"Ini hanya dapat dilakukan dengan menghormati sistem demokrasi sedia ada, dan membuang undi secara bertanggungjawab iaitu memilih calon-calon secara baik dan bukannya dengan merosakkan undi dengan sengaja," tambah beliau.

Saksikan wawancara Astro AWANI bersama Jerald Joseph, Pesuruhjaya SUHAKAM tentang isu #undirosak