Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengalu-alukan langkah untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tetap (PSC) mengenai Hak Asasi Manusia yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Langkah ini akan menyediakan satu forum penting bagi Ahli Parlimen untuk membincangkan hasil penemuan laporan tahunan dan untuk menangani isu-isu hak asasi manusia yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya.

Selama 13 tahun, Suhakam telah menyedia dan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen tepat pada masa untuk mesyuarat pertama tahun berkenaan, dan telah secara konsisten menggesa Kerajaan untuk membentangkan laporan tersebut untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen.

Namun ia menganggap langkah untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tetap mengenai Hak Asasi Manusia sebagai langkah positif ke arah penambahbaikan keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Pihak Suhakam berharap bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tetap akan ditubuhkan secepat mungkin bagi membolehkan ia untuk membincangkan laporan tahunan Suruhanjaya yang seterusnya.

Dalam melaksanakan fungsinya sebagai institusi hak asasi manusia nasional, Suruhanjaya, sebuah badan penasihat tanpa kuasa penguatkuasaan dan pendakwaan, akan terus memainkan peranan untuk mempromosi kesedaran hak asasi manusia, menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Suruhanjaya juga akan menasihati Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkenaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan penggubalan undang-undang dan dasar-dasar serta pelaksanaan mereka bagi memastikan keselarasan antara undang-undang negara dan bahawa mereka mematuhi prinsip-prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR).