Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melakukan satu kajian untuk meneliti keperluan mewujudkan akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual menerusi aktiviti menghendap dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, kajian itu lantaran aktiviti menghendap dalam talian merupakan jenayah baru dalam masyarakat ketika ini.

"Online stalking merupakan jenayah baru dalam masyarakat kini yang berkembang selari dengan kepesatan inovasi teknologi serta penggunaan media sosial.

"Kementerian akan melakukan satu kajian untuk meneliti keperluan untuk mewujudkan akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual dengan mendapatkan maklum balas masyarakat, data serta kaedah pembuktian dalam kes-kes yang terlibat.

"Ia seterusnya membantu dan merangka dasar dan strategi menangani isu gangguan seksual. Justeru, elemen 'online stalking' boleh diambil kira dalam kajian tersebut," ujar beliau di Dewan Rakyat hari ini ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang amat bersetuju dengan penubuhan akta tersebut menyifatkan ibu bapa yang mempunyai anak remaja akan turut menyambut baik inisiatif itu.