Kementerian Belia dan Sukan (KBS) gagal menambah baik sistem pengurusan terutama melibatkan proses pemberian tender.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata tiada penambahbaikan berlaku walaupun pada 2016, seorang pegawai KBS ditahan SPRM melibatkan penyelewengan wang kementerian berjumlah RM100 juta.

Tambah Steven, pada 2017 sahaja jumlah perolehan tanpa melalui tender terbuka itu telah mencapai RM264.2 juta, iaitu melebihi jumlah perolehan melalui tender terbuka iaitu sebanyak RM173.7 juta.

“Ia merangkumi pelbagai perolehan termasuk perkhidmatan seperti rundingan dan kerja-kerja infrastruktur.

“Apa yang saya nak laporkan terutama selepas sebulan kami diberi amanah di KBS ini adalah keadaan kepincangan dan kelonggaran yang berlaku sekian lama.

“Wujud keperluan untuk melakukan rombakan terhadap sistem perolehan dan pengurusan di KBS,” ujarnya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ditanya sama ada penganugerahan tender langsung itu melibatkan penganjuran Sukan SEA, ini jawab beliau: “Sewaktu Sukan SEA memang banyak kontrak tender langsung.”

Justeru, pihaknya akan menambah baik sistem pengurusan sedia ada bagi memastikan ia lebih telus dan tidak berlaku ketirisan wang rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama individu yang disyaki terlibat dalam proses penganugerahan tender kementerian tersebut.