Kerajaan Johor akan menggerakkan kira-kira 200 anggota Sukarelawan Darul Ta'zim dalam masa terdekat bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Belia dan Sukan negeri untuk menggembleng sukarelawan bagi menghulurkan bantuan secepat mungkin.

"Kita (Johor) melihat musibah di Pulau Pinang ini dan kita percaya bencana ini, tanpa mengira ideologi dan sebagainya, kita berasa bertanggungjawab dan prihatin untuk menyumbang dan membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama Puteri UMNO Cawangan-Cawangan Seluruh Johor dan pelancaran Jentera IT Pergerakan Puteri UMNO Johor di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Johor Rohaizah Ahmad.

Mohamed Khaled berkata persiapan sedang dilakukan bagi penghantaran rombongan pertama sukarelawan dan kerajaan negeri akan melihat dari semasa ke semasa perkembangan banjir tersebut.

Mengenai ganjaran kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kejuaraan merangkul Piala Malaysia, malam tadi, beliau berkata ia akan diumum selepas diperincikan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Rabu ini.

Sambil mengucapkan tahniah atas kemenangan tersebut, beliau berkata Johor amat berbangga dengan pasukan JDT dan percaya kemenangan tersebut disumbangkan oleh penyokong setia bermula daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hingga ke rakyat jelata.

"Tidak dinafikan juga peranan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penggerak JDT," katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi, JDT menewaskan juara bertahan, Kedah 2-0, sekali gus mengakhiri penantian 26 tahun pasukan itu untuk menjulang piala yang kali terakhir dimenangi Johor FA pada 1991.

-- BERNAMA