Sukatan mata pelajaran Alam Sekitar dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau, kertas cadangan itu sedang dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan sebelum dibawa ke Kabinet, awal tahun depan.

Tambah Wan Junaidi, Kementerian Pendidikan menerima positif cadangan tersebut dalam mempelopori idea supaya subjek tersebut diperkenalkan di peringkat sekolah dan universiti.

“Sebenarnya kita rancang dari peringkat tadika lagi, kita mungkin buat buku pamplet untuk kanak-kanak melihat binatang-binatang umpamanya, bagaimana menyintai binatang, alam sekitar, jadi kita perkenalkan dari awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel dalam sesi Dialog ASEAN sempena Dialog Pangkor 2017 di Amanjaya Convention Centre di sini pada Selasa.

Wan Junaidi berkata, persoalan untuk menjadikan subjek alam sekitar sebagai matapelajaran wajib juga akan diputuskan setelah pihaknya membuat perbincangan secara berterusan.

Sukatan pelajaran itu diperkenalkan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta peranan yang boleh dimainkan setiap individu, termasuk kanak-kanak.