Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menamakan cucu lelaki yang baru dilahirkan pada 17 Julai lalu sebagai Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.

Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan perkara tersebut dalam satu pengumuman Diraja.

"Menjunjung titah, Jumaah Majlis DiRaja Johor sukacita mengumumkan bahawa Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim dengan telek pandang dan limpah perkenan Tuanku dan dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja menamakan putera dan waris Tunku Mahkota Johor yang diputerakan pada 17 Julai lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru seperti berikut, Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail," katanya, di sini hari ini.

Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam melangsungkan perkahwinan pada 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan seorang puteri, Tunku Khalsom Aminah Sofiah, 3, serta seorang putera, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, 2.