Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Bukit Serene di sini pada Rabu.

Entri yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, ketibaan Swee Keat yang diiringi Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan disambut Baginda serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut hadir Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah,

Hadir sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Baginda dan keluarga diraja berkenaan meraikan tetamu dalam satu majlis santapan pada tengah hari.

Sultan Johor juga berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor sempena Aidilfitri.