Sultan Johor kurnia hadiah kepada 30 pemandu teksi

Sultan Johor kurnia hadiah kepada 30 pemandu teksi
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 'hadiah' kepada 30 pemandu teksi kawasan Stulang Laut. -Foto Royal Press Office
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 'hadiah' kepada 30 pemandu teksi kawasan Stulang Laut.

Kesemua pemandu teksi terbabit menerima kurnian hadiah daripada baginda Tuanku sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Memetik posting dalam Facebook rasminya, setiap seorang menerima kain dan sumbangan berupa duit raya daripada Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di sini semalam.

Pada tahun lalu, seramai 20 pemandu teksi kawasan Stulang Laut menerima sumbangan Sultan Johor sempena Aidilfitri.

Setiap kali baginda Tuanku melalui kawasan Stulang Laut, pemandu-pemandu teksi di kawasan berkenaan tidak ketinggalan melambai terhadap Sultan Johor.

Baginda Tuanku amat dekat di hati rakyat dan sering mengetepikan protokol serta beramah mesra bersama bangsa Johor.