Johor bakal menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki sebuah pusat pakar kanser secara komprehensif.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melancarkan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), hari ini.

Ketika bertitah, Sultan Ibrahim menyifatkan pembinaan pusat kanser itu begitu signifikan dan sebagai memenuhi impian Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil untuk membantu pesakit kanser mendapatkan rawatan.

Turut hadir, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Che Puan Khaleeda Bustamam, putera dan puteri baginda.

TLJCC bakal dibina di Iskandar Malaysia yang diterajui sebuah syarikat berasaskan kesihatan dari Singapura, Asian American Medical Group (AAMG), dibina khusus untuk rawatan, penyelidikan dan pendidikan mengenai kanser.

Fasa satu projek meliputi kemudahan diagnostik dan rawatan kanser terkini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM300 juta dan berkeluasan kira-kira 14 ribu meter persegi.

Ia juga menawarkan 30 katil harian dan mampu merawat sehingga tujuh ribu pesakit dalam setahun.

Manakala fasa kedua merangkumi perkhidmatan pesakit dalaman termasuk satu sayap patuh syariah khusus bagi pesakit wanita.

Terdapat juga bilik pembedahan, mesin nuklear dan makmal advanced molecular diagnostic, kedai perubatan serta ruang runcit dan pejabat serta makmal.

Pembangunan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka memulakan operasi pada penghujung tahun 2020.

Satu unit perubatan integratif juga akan dibentuk menggabungkan rawatan kanser barat dengan terapi tradisional seperti yoga, meditasi, akupunktur terapi andaroma atau herba turut didermakan oleh Sultan Ibrahim.