SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli melawat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Medipol, Istanbul, Turki.

Anwar yang menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu kanan baru-baru ini berada di Istanbul bagi mendapatkan pengesahan daripada doktor tentang tahap kemajuan kesihatannya ketika menerima kunjungan daripada Sultan Ibrahim.



“Junjung kasih atas kesudian DYMM Sultan Johor untuk menziarahi saya di Hospital Medipol Istanbul. Saya ke hospital semalam untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor tentang tahap kemajuan kesihatan saya.

“Sukacita dimaklumkan panel doktor berpuas hati dengan tahap kemajuan kesihatan dan mengizinkan saya berlepas pulang ke tanah air.

“Baginda Tuanku Sultan Ibrahim sempat diperkenalkan kepada panel doktor dan mengucapkan terima kasih di atas rawatan baik yg diberikan kepada saya,” kata Anwar menerusi akaun Facebook miliknya pada Sabtu.

Beliau sebelum ini mengalami 'lumbar central stenosis', keadaan di mana saluran tulang belakang sempit sehingga menyebabkan rasa sakit dan kebas.