Sultan Johor rancang buka pasaraya harga berpatutan

Sultan Johor rancang buka pasaraya harga berpatutan
Sultan Ibrahim akan mengumumkan berita lanjut mengenai rancangan pembukaan pasaraya harga berpatutan dalam tempoh terdekat.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merancang untuk membuka sebuah pasaraya yang menjual barangan pada harga berpatutan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Dalam entri yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu, baginda bertitah, pasaraya yang menawarkan harga berpatutan itu akan dibuka di negeri Johor.
Sehubungan itu, baginda merancang untuk menjalin kerjasama strategik dengan sebuah pasaraya besar untuk membuka pasaraya itu.

"Pasaraya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang-barang pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan pada kualitinya.

"Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah," titah baginda dalam catatan yang dimuat naik pada Khamis.

Sultan Ibrahim bertitah, pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan baginda dalam tempoh terdekat.