Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail Almarhum Sultan Iskandar menitahkan agar darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk yang dikurniakan kepada bekas pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor Hamsan Saringat ditarik balik serta merta.

Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, baginda turut bertitah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (P.I.S 11) yang dikurniakan kepada Hamsan juga ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

"Mulai tarikh itu, Hamsan bin Saringat tidak boleh menggunakan gelaran Datuk dalam apa jua urusan," katanya di dalam satu kenyataan Jumaat.

Sultan Johor, katanya membuat keputusan itu mengikut kuasa-kuasa di bawah Fasal 7(2)(f) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-Undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia.

Hamsan dikurnia Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) yang membawa gelaran Datuk pada 2005.