Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, di sini, malam tadi.

Turut berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Umum Pakatan Harapan itu ditemani anak sulungnya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan dibebaskan dari penjara pada 16 Mei lepas. Beliau memberitahu pemberita selepas pembebasannya bahawa semua rekod kes sebelum itu telah dibersihkan.

Pertemuan tertutup itu telah dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook Sultan Johor lewat malam tadi.


Terdahulu, Anwar turut menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara di Kuala Lumpur petang semalam.

Pada majlis itu, isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara, telah mengetuai barisan 13 menteri kabinet baharu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

-- BERNAMA