Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai pengaruh dalam pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan ia merupakan keputusan daripada Pakatan Harapan (PH) negeri itu sendiri.

"Sultan tidak mempunyai pengaruh. Saya rasa ia adalah keputusan PH Johor," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Isnin.

BACA: 10 exco Johor angkat sumpah, 3 muka baharu

Pada Isnin, seramai 10 Exco Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Tiga muka baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon yang mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata, Kerajaan akan mengkaji desakan pemimpin DAP agar kerajaan menghentikan amalan mengutamakan pelajar-pelajar bumiputera dalam program matrikulasi.

Sebelum ini, Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Leong Yu Shen mahu Kerajaan menamatkan amalan mengutamakan pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi pra-universiti.

Tegasnya, ia bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan bahawa tiada diskriminasi terhadap setiap warganegara.