Keperibadian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berjiwa rakyat dan tidak terlalu terikat dengan protokol menjadikan baginda sebagai role model kepada orang muda dan rakyat Malaysia khususnya, ujar Dekan Pusat Pengajian Undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zainal Amin Ayub.

Pada masa yang sama, baginda dicontohi kerana prihatin dalam menegakkan kepentingan dan perkembangan syariah di negara ini.

"Keperibadian Yang di-Pertuan Agong yang berjiwa rakyat, yang sangat merendah diri, dekat dan amat prihatin dengan perkembangan syariah di Malaysia dan di Kelantan khususnya.

"Ini adalah satu contoh atau role model kepada orang muda dan rakyat Malaysia amnya. Sikap baginda yang berjiwa dan sangat tidak protokol dalam banyak perkara yang kita saksikan sebelum ini, " katanya semasa menjadi tetamu dalam Buletin Awani Khas di sini hari ini.

Menurut Dr Zainal, berdasarkan perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara dengan fungsi dan tugas yang sangat luas iaitu meliputi perundangan, kehakiman dan eksekutif.

"Semua lantikan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Yang mana kuasa baginda ini bukan sekadar ceremonial (upacara atau istiadat), ada yang bertindak atas nasihat dan ada bersifat atas budi bicara baginda.

"Jadi kalau kita lihat tugas Yang di-Pertuan Agong sangat luas, iaitu menjadi Ketua Agama seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan penjaga kepada hak istimewa orang Melayu serta Sabah dan Sarawak selain menjadi Ketua Ketua Angkatan Tentera Negara," tambahnya.

Jelasnya lagi, Yang di-Pertuan Agong juga bertanggungjawab sebagai bakal mengawal keharmonian semua kaum dan bangsa di Malaysia.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda juga adalah simbol perpaduan kepada Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum, agama dan bangsa.

"Jadi, kita perlu memahami bahawa baginda adalah pemerintah kepada semua rakyat. Kita menjadikan baginda sebagai tempat mengadu," tambah beliau.

Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lepas yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 13 Disember lepas, Seri Paduka Baginda telah menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara.

Sultan Muhammad V menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada 12 Dis lepas.