Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebak ketika mengimbau kembali detik-detik terakhir kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra pada 28 September lepas.

Sultan Muhammad turut dilihat menitiskan air mata ketika membaca coretan titah sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Darulnaim sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-50 hari ini.

Sultan Muhammad bertitah, ketika keadaan ayahanda baginda semakin gering yang mengalami kegagalan pernafasan tahap dua, masalah jantung yang tidak stabil atau cardiac arrythmias, baginda serta adinda baginda, berangkat ke Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Hanya doa sahaja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT mohon yang terbaik buat DYMM Tuanku Sultan Ismail Petra hendaknya. Pasukan doktor yang merawat masih berharap keajaiban dan ihsan dari Yang Maha Esa. Detik yang mendatang begitu meresahkan. Kadar degupan jantung semakin menurun. Allahuakbar," titah baginda menceritakan kembali detik-detik akhir kemangkatan ayahandanya.

Baginda bertitah doktor yang menjaga Almarhum Sultan Ismail Petra sempat melaksanakan solat sunat tahajud, solat hajat dan witir di surau Wad Diraja.

"Bermunajat kepada Yang Maha Esa. Kadar degupan jantung menurun lebih pantas dan tidak meningkat. Jururawat lelaki yang menjaga DYMM Tuanku Sultan Ismail Petra sentiasa membisikkan syahadah di telinga DYMM Tuanku dan bacaan Yasin diteruskan.

"Sesudah Subuh, dimaklumkan oleh pihak HRPZII, kadar degupan jantung semakin menurun dan beta serta paduka bonda (Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid) dan adinda berada di sisi DYMM Sultan Ismail Petra. Kekuasaan dan kehendakNya, DYMM Tuanku kembali kepada Yang Maha Esa detik 8.11 pagi pada tanggal 28 September 2019. Innalillahiwainnailaihirojiun," titah baginda.


Baginda bertitah, perkhabaran mengenai kemangkatan Sultan Ismail Petra terus dimaklumkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan di Lobi Wad Diraja HRPZII.

Sultan Muhammad bertitah, mesyuarat koordinasi kemudiannya diadakan bersama Ahmad, Nazran, Nik Mohd Shafriman dan Pengarah HRPZII, Datuk Zaini Hussin di Lobi Wad Diraja bagi urusan pemakaman.

Baginda bertitah, antara persiapan yang dilakukan termasuklah membawa jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra dari HRPZII terus ke Istana Balai Besar menggunakan kenderaan jenazah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), urusan penyempurnaan jenazah di Istana Balai Besar dan pemakaman diadakan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar.

"Sementara itu, pasukan pakar, doktor dan jururawat bersama-sama menguruskan (jenazah) DYMM Tuanku di Wad Diraja dengan diiringi bacaan al-Quran tanpa henti oleh anak-anak tahfiz dan ustaz.

"Jam 11.10 pagi pemakluman daripada Datuk Pengelola (Istana) bahawa Istana Balai Besar telah siap sedia dan Almarhum DYMM Tuanku untuk dibawa berangkat ke Istana Balai Besar.

"Jam 11.20 pagi Almarhum DYMM Tuanku dibawa turun dan Pengarah HRPZII, bagi pihak HRPZII, menyerahkan jenazah Almarhum DYMM Tuanku kepada waris iaitu adinda beta, Tengku Muhammad Fakry Petra dan kepada angkatan tentera yang mengambil alih untuk dibawa berangkat ke Istana Balai Besar," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan, pegawai-pegawai kerajaan dan semua pihak yang banyak membantu dalam menyempurnakan Istiadat Pemakaman dan urusan-urusan dalam tempoh perkabungan ini.

"Di kesempatan ini, beta berterima kasih kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota (Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra) yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemangku Raja dengan cemerlang sepanjang tempoh pemangkuan," titah baginda. - BERNAMA

BACA: Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selamat disemadikan