Sultan Nazrin, Tuanku Zara berkenan sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berkenan sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak
Sultan Nazrin Shah bertemu pemain pasukan bola sepak Perak selepas acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak. Astro AWANI
KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan bersama-sama lebih 7,000 orang menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavillion di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Nomee Ashikin, Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman serta barisan exco kerajaan negeri.

Larian bermula 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda yang disambut pada 2 Nov lalu.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta larian bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan 7km, manakala peserta kategori tetamu kehormat melibatkan jarak 2km dilepaskan Raja Datuk Seri Yong Sofia, adinda Sultan Nazrin.

Dijangkakan selepas larian, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke majlis sambutan meraikan Piala Malaysia dan Piala Razak yang diadakan di lokasi sama.

-- BERNAMA