Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Bahagia di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman serta barisan exco kerajaan negeri.

SMK Kampung Bahagia yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Teluk Intan dan bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia dibina pada September 2017 dan mula beroperasi sejak 2 Jan tahun lepas.

Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Bahagia yang telah dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini.  - Foto Bernama

Sekolah setinggi tiga tingkat itu mengandungi 24 bilik darjah dan beberapa kemudahan lain dengan kos pembinaan sebanyak RM30.1 juta serta mampu menempatkan seramai 263 pelajar terdiri daripada tingkatan satu hingga tiga.

Pelajar sekolah itu terdiri daripada penduduk setempat sekitar Kampung Bahagia, Sungai Kerawai, Sungai Tunku dan Sungai Suli.

Sementara itu, Amin ketika membacakan teks ucapan Menteri PendidikanDr Maszlee Malik, berkata Kementerian Pendidikan berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-21 bagi memastikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai melalui budaya sekolah, prasarana, penglibatan ibu bapa dan komuniti, guru serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

"Saya yakin bahawa pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira, bersemangat dan seronok.

"Saya sebagai Menteri Pendidikan ingin memberikan jaminan segala keputusan menyentuh dasar dan polisi yang dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dengan mengambil kira pelbagai aspek demi kepentingan pendidikan rakyat seluruhnya," katanya.

-- BERNAMA