Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pemulangan darjah kebesaran daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 7 Disember lalu.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata, Sultan Selangor berkenan menerima pemulangan pingat tanpa sebarang halangan.

BACA: Tun M pulangkan pingat sebelum Sultan Selangor tarik balik gelaran

Katanya, pihak istana akan mewartakan pembatalan kurniaan pingat tersebut mengikut prosedur ditetapkan.

"Dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor tersebut oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali tanpa halangan.

"Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan Darjah-Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.

BACA: Tun M mahu keluar 'dating' dengan Siti Hasmah

Pada awal November lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Merujuk kepada ucapan Tun Mahathir ada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, baginda bertitah tindakan itu boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sultan Sharafuddin juga menyatakan rasa kecewa dan murkanya atas ucapan Tun Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.


Tun Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada sesuatu masa.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Oktober 2003.