Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di kediaman rasminya di JKR 10, di sini.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan disambut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Baginda tiba pada jam 2.30 petang dan meluangkan masa lebih 30 minit sebelum meninggalkan kediaman Ahmad.

Awal April lalu, Ahmad dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian setelah mengadu kepenatan selepas mempengerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan terdapat pendarahan kecil di kepalanya dan beliau dinasihati melakukan pembedahan.

Susulan pembedahan, beliau kini dinasihatkan untuk berehat secukupnya dan menunggu pemeriksaan susulan.

Tugas rasminya kini dipangku Timbalan Menteri besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sultan Selangor berkenan meluangkan masa bertanyakan tentang khabar kesihatan Ahmad Yakob di kediaman rasminya. - Gambar fail