Umat Islam diseru mengamalkan ajaran Islam sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W bagi mengelak daripada terjerumus dengan anasir tidak sihat seperti ajaran sesat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya umat Islam sentiasa mencontohi dan menerapkan ajaran yang dibawa Rasullullah S.A.W di dalam kehidupan seharian termasuk dalam aspek pergaulan dan tutur kata yang secara tidak langsung akan memberikan gambaran positif mengenai golongan muslim kepada masyarakat lain.

"Amalan dan ajaran Rasulullah SAW hendaklah dihayati dan terjemahkan ke dalam segenap inci kehidupan umat Islam hari ini.

"Pelbagai anasir tidak sihat seperti ajaran sesat dan keganasan yang berleluasa berpunca daripada ketirisan masyarakat Muslim terhadap ajaran Rasulullah," titahnya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Majlis sambutan Maulidur Rasul tahun ini yang bertemakan 'Menyantuni Ummat Membawa Rahmat' dihadiri kira-kira 2,000 orang yang terlebih dahulu menyertai perarakan dari Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu ke Stadium Negeri, Kuala Terengganu, diketuai Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -- Bernama