Seorang remaja berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kampar pada Isnin atas tuduhan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Remaja yang masih bersekolah itu didakwa melakukan persetubuhan dengan kakaknya yang berusia 16 tahun yang mana hubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

Malah hubungan itu juga tidak dibenarkan mengikut hukum agama dan adat yang terpakai kepadanya untuk berkahwin dengan kakaknya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Diawan, Taman Diawan, Kampar pada Disember 2017 hingga Mei 2018.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 b (1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Nur Faizah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tetapkan 20 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya, Siti Norashikin Hassannor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Remaja itu ditahan 15 Disember lalu selepas seorang doktor sakit puan membuat laporan polis berhubung kes seorang remaja melahirkan bayi perempuan di tandas rumah.