KUALA LUMPUR:Sungai Batang Benar dan Sungai Pajam di Negeri Sembilan sememangnya terdedah dengan risiko pencemaran daripada pelbagai punca bahan cemar.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Ir. Dr Zaki Zainuddin berkata, ia berikutan dua sungai itu terletak di lokasi industri, penternakan dan tapak pelupusan sampah. 

Menurut Dr Zaki, apabila ada punca bahan cemar berkenaan, risiko pencemaran tidak dapat dielakkan.

"Untuk kes yang berlaku semalam, kalau kita tengok di hulu Sungai Batang Benar dan di Sungai Pajam  sebenarnya ada pelbagai punca sebenarnya bukan pencemaran indusri sahaja, ada penternakan ayam, daging, ada juga kolam ikan, tapak pelupusan sampah  dan macam-macam punca di hulu sungai. Ini yang mendatangkan masalah, apabila ada punca itu maka risiko itu akan ada,' katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin. 

BACA: Krisis air Selangor: Bahan buangan ditemui di lokasi punca pencemaran Sungai Semenyih

BACA: Ada bau seakan bangkai di Sungai Semenyih, Sungai Langat - LUAS

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan cadangan menggunakan air sungai dari Tasik Putrajaya sebagai sokongan kepada Sungai Semenyih apabila berlaku pencemaran.

Bagaimanapun katanya, ia perlu kekal sebagai satu sistem sokongan dan tidak boleh digunakan secara berterusan.
 
"Namun harus tekankan, ia cadangan yang baik namun perlu kajian yang menyeluruh sebab kita kena ingat air Tasik Putrajaya itu digunakan sebagai back up (sokongan) sahaja. Ia tidak boleh digunakan secara berterusan kerana akan mendatangkan masalah kepada Putrajaya," tambahnya. 

Selain itu katanya, banyak negara menggunakan teknologi rawatan air konvensional seperti Malaysia.

Namun apa yang berbeza ialah, negara terlibat mengawal pencemaran dari lembangan sungai lagi iaitu melalui perlindungan kawasan tadahan air.

Justeru, beliau mencadangkan Malaysia mewujudkan kaedah sasaran kualiti air bagi menentukan klasifikasi sungai dan ia boleh digunakan untuk agensi terlibat.

"Daripada situ, usaha-usaha dapat diselaraskan. Ia seperti sistem KPI. Sasaran ini seharusnya ditetapkan oleh kerajaan negeri sebab sumber air itu di bawah kerajaan negeri," ujarnya. 

Sebelum ini dilaporkan pencemaran bau Sungai Semenyih di Selangor yang menyebabkan operasi dua LRA berkenaan dihentikan sejak 4.30 petang Ahad itu disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan dan aktiviti pencucian secara besar-besaran yang sedang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam, Negeri Sembilan.