Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang tercemar dengan pembuangan bahan kimia kini telah disahkan selamat, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, katanya pemantauan berterusan selama 15 hari akan dilakukan di sepanjang sungai berukuran 1.5 kilometer itu bagi memastikan kualiti udara berada dalam keadaan selamat.

Bee Yin berkata, sepanjang operasi pembersihan yang bermula sejak 13 Mac lalu, sebanyak 900 tan metrik tanah yang dicemari bahan kimia telah dibersihkan dan akan dilupuskan.

Manakala, sebanyak 1500 tan metrik air tercemar juga telah dikeluarkan dari sungai tersebut.

“Sekarang pun saya tak pakai topeng, tetapi pemantauan itu penting.

“Secara keseluruhan telah bersih tetapi pemantauan dua minggu perlu untuk meyakinkan rakyat bahawa (sungai) ini adalah bersih,” katanya pada sidang media di lokasi utama pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, pada Selasa.

Turut hadir ialah kontraktor pembersihan, Pengarah Teknikal 5e Resources Sdn Bhd, N Shankar dan Pengerusi Jawatankuasa Sainstifik, Professor Dr Abdul Rahim Mohd Yusoff.

Bee Yin memaklumkan, sisa tanah tercemar dimasukkan dalam ‘jumbo bag’ dengan selamat.

Katanya, sepanjang operasi pembersihan, sebanyak 620 ‘jumbo bag’ telah digunakan untuk mengisi tanah tercemar.

Daripada jumlah itu, 130 telah dibawa ke pusat pelupusan manakala 490 jumbo bag akan dibawa secara berperingkat sehingga selesai pada 21 Mac ini.

Katanya, ini kerana laluan jalan di kawasan kampung sempit dan kerja perlu dilakukan dengan cermat dan selamat.

Maklumat terperinci dari sudut jawatankuasa sainstifik yang telah dijalankan sejak 13 Mac lepas akan dimaklumkan menerusi sidang akhbar esok.