Education Malaysia Global Services (EMGS), anak syarikat milik penuh Kementerian Pendidikan Tinggi, telah melaksanakan sepenuhnya sistem Surat Kelulusan e-Visa (e-VAL) mulai bulan ini bagi membolehkan pelajar antarabangsa mendapatkan visa melalui portal STARS mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pegawai eksekutif EMGS Prof Datuk Rujhan Mustafa berkata sejajar dengan pelaksanaan perkhidmatan e-Visa oleh Jabatan Imigresen bulan ini, pelajar yang memerlukan visa untuk ke Malaysia, boleh membuat permohonan secara dalam talian bagi mendapatkan visa kemasukan tunggal untuk memudahkan dan mempercepatkan lagi urusan membuat perjalanan ke negara ini.

"Sebanyak 277,000 permohonan lengkap diterima antara 2013 dan 2017, di mana ia diproses dan Surat Kelulusan Visa (VAL) dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja, terima kasihlah atas sokongan dan hasil daripada kerja secara berpasukan dengan Jabatan Imigresen.

"EMGS, dengan sokongan pemegang kepentingan lain, kini bergerak sepenuhnya di atas platform operasi dan pemasaran antarabangsa bagi membantu industri berkenaan mencapai sasarannya mencatat pendaftaran 200,000 pelajar antarabangsa menjelang 2020," kata Rujhan.

Semalam, syarikat itu menjadi hos mesyuarat Education Malaysia Industry Townhall 2018 yang disertai 180 peneraju pendidikan antarabangsa daripada institusi pendidikan tinggi, pusat kemahiran dan sekolah bahasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Peserta diberi taklimat tentang maklumat terkini berkaitan permohonan dan pemprosesan visa serta mengikuti dialog terbuka tentang isu semasa, di samping diperkenalkan kepada barisan pengarah Education Malaysia yang baru dilantik bagi pejabatnya di Chicago, Dubai, Jakarta dan Ho Chi Minh City.

-- BERNAMA