Ke hadapan Yang Berhormat Datuk Seri Nazri Abdul Aziz,

Pertama-tamanya, suka saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri atas pelantikan sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang baru. Saya percaya Datuk Seri cukup bersemangat untuk memulakan tugas baru di pejabat yang baru dengan pasukan yang baru; tentunya juga Datuk Seri sudah bersedia untuk berkhidmat dengan mengetengahkan idea-idea yang baru.

Jangan peduli sangat apa yang orang kata tentang perpindahan Datuk Seri ke kementerian itu. Ada orang kata Datuk Seri turun pangkat; ada juga yang kata Datuk Seri terlalu senior untuk kementerian itu yang kononnya hanya layak bagi seorang menteri yang junior.

Mengenali watak Datuk Seri, saya yakin Datuk Seri tidak akan pernah peduli dengan cakap-cakap orang seperti itu. Datuk Seri hanya tahu buat kerja dan mahu bekerja, dan tentunya cakap-cakap yang semacam itu tidak akan berbekas apa-apa.

Datuk Seri,

Saya menulis surat ini untuk melahirkan sedikit harapan. Saya percaya ia mewakili mungkin sebahagian daripada harapan penggiat dan peminat seni yang masih yakin dan percaya bahawa negara ini kaya dengan seni dan budaya. Tetapi sebelum itu biar saya berterus terang saja: Saya bukanlah yang ahli di kalangan mereka. Saya hanya pemerhati dan tukang catat — ada banyak hal yang mungkin tidak tercatat tetapi seperti kita membaca akhbar hari ini, yang tidak terbit itu tidak semestinya tidak terjadi.

Saya menulis surat ini sebagai satu rayuan. Besarlah harapan saya sekiranya dapat Datuk Seri memberikan perhatian segera kepada beberapa perkara. Harapan ini bertolak daripada keyakinan bahawa masih ada banyak yang tidak dilakukan dan perlu dilakukan untuk meningkatkan kecemerlangan seni dan budaya kita.

Pertamanya, tentang Panggung Negara dan teater kita. Datuk Seri jenguk-jenguklah ke panggung yang indah itu dan perhatikan apa yang dipersembahkan kepada khalayak. Indah seni bina bangunan sirih junjung itu tidak semesti molek juga isinya.

Orang sekarang mengenali panggung itu sebagai Istana Budaya dan kerana itu kita barangkali terlupa tentang sejarahnya. Panggung itu mempunyai sejarah yang panjang; dari Padang Merbok sampai ke Jalan Tun Razak. Jangan kita lupa juga bahawa mimpi mahu mewujudkannya terbit sejak Kongres Kebudayaan Nasional lebih 40 tahun lalu.

Tetapi cuba kita teliti apa yang ia persembahkan dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini. Apakah persembahan itu yang dibayangkan oleh tokoh-tokoh teater negara apabila mereka membahaskan soal keperluan sebuah panggung negara? Panggung itu dari segi fizikalnya bertaraf antarabangsa — ia dikatakan antara 10 yang terbaik di dunia — tetapi isinya apa?

Cuba bandingkan pula dengan apa yang disajikan oleh Espalanade Theatre on the Bay yang ada di Singapura. Panggung yang terletak di bangunan seperti durian itu dibuka pada 2002 iaitu tiga tahun selepas Istana Budaya tetapi pengisiannya terasa lebih matang dan dewasa, dan jauh lebih profesional. Kenapa pula panggung bertaraf antarabangsa itu tidak dapat menarik persembahan bermutu dari serata dunia, tidak seperti di Singapura?

Di sebelah panggung itu pula terletak Balai Seni Lukis Negara yang sekarang sudah ditukar namanya jadi Balai Seni Visual Negara. Tak mengapalah hendak dipanggil apa pun asalkan ia tegak berdiri sebagai sebuah galeri yang boleh dibanggakan. Kalau Datuk Seri menjenguk ke Istana Budaya, singgah jugalah ke galeri itu. Tengok-tengokkan juga apa yang dipamerkan di sana.

Negara ini ada sebaris pelukis yang boleh dibanggakan. Sesetengah daripada mereka memahat nama di peta dunia. Hasil seni mereka terjual sampai ratusan ribu ringgit malah ada yang mencecah lebih RM1 juta. Karya mereka itu khususnya yang ikonik adalah milik negara kerana dibeli oleh kerajaan.

Tetapi kalau kita singgah di galeri itu apakah ada lukisan-lukisan hebat berkenaan dipamerkan? Saya pernah pada suatu hari minggu empat lima bulan yang lalu ke galeri berkenaan mencari lukisan Hoessein Enas dan Ibrahim Hussein. Malangnya, karya mereka tidak ada di galeri yang kita namakan galeri nasional itu.

Saya bertanya kepada pegawai bertugas, apakah Balai Seni tidak lagi menyimpan karya-karya mereka kerana seingat saya beberapa lukisan itu milik negara. Jawab pegawai berkenaan: "Ada, kita simpan di stor." Saya tidak tahu apa masalahnya tetapi kalau memang ada masalah, harap-harapnya dapatlah Datuk Seri tanya-tanyakan kepada mereka yang bertanggungjawab.

Tetapi lebih daripada itu, besarlah harapan saya — dan harapan banyak penggiat dan pencinta seni juga rasanya — supaya hal ehwal pengurusan dan pentadbiran seni dan budaya bebas daripada titik bengik politik. Janganlah hendaknya apa-apa keputusan sama ada untuk mengangkat atau tidak sesebuah persembahan serta melantik atau menukar seseorang pegawai kanan yang memahami soal seni dan budaya ditentukan kerana pertimbangan politik.

Mohon tidak lagi, Datuk Seri.

Datuk Seri,

Ada banyak hal sebenarnya yang mahu saya bangkitkan tetapi cukuplah setakat ini saja buat masa ini. Sekiranya ada rezeki dan dapat kita bersua muka, Insya-Allah, akan saya suarakan. Sekiranya juga ada yang terkasar bahasa, ampun dan maaf saya pinta.