BEBERAPA minggu kebelakangan ini, terdapat banyak perbincangan di Malaysia berkaitan kemampuan negara ini untuk menyediakan tempat perlindungan kepada orang yang memerlukannya setelah mengharungi perjalanan laut yang berbahaya.

Pihak berkuasa memetik kebimbangan jangkitan COVID-19 sebagai sebab menghalang mana-mana pendaratan, termasuk bot yang dinaiki pelarian Rohingya yang mencari tempat perlindungan pada 16 April.

Doktor Tanpa Sempadan / Médecins Sans Frontières (MSF) berpendapat, tindak balas terhadap COVID-19 tidak seharusnya jadi batu penghalang bagi Malaysia memenuhi kewajipan kemanusiaannya, berdasarkan undang-undang antarabangsa, terhadap orang yang terkandas di lautan.

Sebelum ini, Malaysia telah menunjukkan kepemimpinan yang baik di rantau ini dengan membenarkan pendaratan pelarian dan pemohon suaka atas dasar kemanusiaan.

Dengan kawalan sempadan yang diperketat bagi memerangi jangkitan COVID-19, bot dihalang daripada mendekati perairan Malaysia.

Ini sangat membimbangkan. Halangan ini menolak kumpulan pelarian kembali ke lautan untuk mencari tempat perlindungan, berdepan ancaman kebuluran, penyakit dan kematian.

Oleh itu, sekiranya kerajaan bimbang akan kemampuannya untuk membenarkan pendaratan selamat ketika tempoh penularan wabak COVID-19, MSF sebagai organisasi kemanusiaan perubatan bersedia untuk memberi sokongan kepada kerajaan dalam tindak balas terhadap COVID-19 serta penjagaan kesihatan umum berkaitan pelarian dan pemohon suaka.

Dengan memenuhi tanggungjawabnya, Malaysia akan membantu menyelamatkan nyawa mereka yang terdesak mencari tempat berlindung, termasuk kanak-kanak.

Pada 14 April, setelah dua bulan berada di lautan, kira-kira 390 orang diselamatkan oleh Pengawal Pantai Bangladesh di pantai tenggara negara itu.

Kisah yang diceritakan oleh mangsa yang kurus kering akibat kebuluran kepada kakitangan MSF di pusat transit di Cox's Bazar, Bangladesh, sangat menakutkan.

Mereka memberitahu bahawa, meskipun dua hingga tiga orang mati setiap hari, dan meskipun mereka berada dalam kesusahan yang nyata, tiada negara di wilayah itu yang sudi menghulurkan bantuan, kerana mereka tidak dibenarkan mendarat.

Seorang gadis berusia 14 tahun memberitahu kami: “Keadaan sangat panas, tiada makanan dan tiada air… […] Mereka minum air laut dan mati. Kami cuma dapat segenggam kacang dhal dan air sebanyak satu penutup botol setiap hari. [...] Beberapa orang lelaki dipukul dan menghadapi masalah kekurangan zat, cuma tinggal kulit dan tulang. Kami terpaksa duduk sambil memeluk lutut sepanjang masa. Ramai yang mengalami bengkak di kaki mereka, menjadi lumpuh atau mati."

Sebilangan besar daripada mereka adalah wanita dan lelaki Rohingya muda berumur antara 12 hingga 20 tahun, namun ada juga anak-anak kecil di atas bot. Mereka yang mati akibat kepanasan dan kelaparan dalam perjalanan itu dicampak ke laut.

MSF mengambil serius usaha untuk mengawal penularan wabak koronavirus. Setelah bekerja selama lebih 5 tahun untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan komuniti pelarian di Pulau Pinang, MSF bersedia dan mampu menyokong kerajaan sekiranya ini yang diperlukan bagi memudahkan proses pendaratan selamat.

Daripada sudut kesihatan awam, risiko untuk kapal dari Myanmar dan Bangladesh membawa jangkitan COVID-19 adalah sangat rendah, kerana mereka sebenarnya telah dikuarantin selama beberapa minggu sepanjang perjalanan mereka.

Namun, jika kerajaan menetapkan kuarantin sebagai prasyarat dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini, MSF bersedia untuk membantu dengan menawarkan bantuan perubatan ketika tempoh kuarantin, termasuk saringan dan swabbing.

Memenuhi keperluan kesihatan lain mereka yang terselamat juga sama penting setelah mengharungi perjalanan yang panjang dan berbahaya. MSF mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan primer, perkhidmatan kesihatan mental, rawatan kekurangan zat makanan dan kaunseling serta rawatan untuk keganasan seksual dan keganasan berdasarkan jantina (sexual and gender-based violence).

Beberapa kali sejak krisis penghijrahan Laut Andaman, termasuk ketika Proses Bali, Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain telah menekankan keutamaan untuk menyelamatkan nyawa di lautan. Adalah penting untuk berpegang kepada janji ini sekarang. MSF berdiri teguh bersama pihak-pihak lain yang sudi menghulurkan sokongan.

Kami dengan segala hormatnya menanti jawapan daripada kerajaan Malaysia dan berharap tawaran kami akan diterima dengan hati dan tangan terbuka.


Beatrice Lau,
Ketua Misi MSF di Malaysia