Seorang suri rumah maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini pada Isnin.

Nahas yang berlaku pada kira-kira jam 1.45 petang itu menyebabkan mangsa Zainab Talib, 59 tahun, maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang menaiki Perodua Myvi itu dilaporkan dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu bersama anak serta rakan anaknya.

Sejurus tiba di lokasi nahas, kereta tersebut dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar tiang elektrik sebelum merempuh sebuah rumah.

Ekoran kejadian itu mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah manakala dua lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.