Suruhanjaya Tenaga (ST) menafikan memberi sokongan terhadap sebarang alat penjimatan tenaga termasuk dalam bentuk 'Kad Jimat Tenaga' yang didakwa mampu menjimatkan bil elektrik sehingga 35 peratus.

Suruhanjaya itu melahirkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyalahguna logo ST untuk menarik perhatian pengguna membeli produk melalui laman sosial.

"Sehubungan itu, ST menegaskan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo suruhanjaya.

ST ingin mengingatkan cara yang paling berkesan untuk penjimatan tenaga elektrik adalah melalui penggunaan tenaga secara cekap," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut sebagai panduan kepada pengguna domestik khususnya, ST telah memperkenalkan label cekap tenaga untuk beberapa kelengkapan elektrik domestik seperti peti sejuk, kipas, televisyen, pendingin hawa dan mentol lampu.

Orang ramai boleh melayari laman web www.st.gov.my atau menghubungi ST di talian 03-88708500/8598 untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan tenaga yang cekap.