TANGGUH sudah Persidangan Agung Tahunan parti Bersatu 2018. Namun perang mulut pasca perbahasan masih panas. Boleh diumpamakan "perang dingin" yang berlaku tidak ubah seperti pertembungan antara kaum muda dan kaum tua.

Sememangnya ketara ideologi kedua-dua kem. Diringkaskan cerita kedua-dua kem berperang media. Ada satu kem kata perlu beri projek tender pada Ketua Bahagian. Ada satu kem kata jangan jadi pengemis tender, buat senyap-senyap tanpa perlu diangkat menjadi perbahasan.

Dalam perbahasan sebegini, tak semestinya ada satu kem yang betul, manakala satu kem lagi salah. Ada kalanya, dua-dua kem betul.

Jadi, kita sebagai ahli parti yang sentiasa terhad pemahaman ini, raikanlah saja perbezaan pendapat. Lepas itu, gunakan akal yang dikurniakan pada kita untuk timbang tara setiap pendapat ini. Buatlah ijtihad sendiri.

Yang paling utama hari ini adalah survival mengurus kejayaan. Tidak usahlah sampai hendak memaki hamun atau memanggil orang lain dengan label itu dan ini seperti budak mentah dan macai hanya disebabkan berbeza pendapat.

Eloklah dipertemukan di antara dua kem ini dan perbahasan atau perbincangan berlaku secara tertutup dan kasih sayang. Yang tua dihormati, yang muda dikasihi.

Dalam usaha memastikan parti terus bergerak memartabatkan perjuangan dan bukannya menjadi retorik, yang paling penting hari ini adalah BERSATU memerlukan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri sekurang-kurangnya 10-15 orang. Pilih mereka daripada pengamal undang-undang, pengurusan, audit, wakil sayap parti, wakil dari tiap-tiap negeri.

Pasukan ini adalah polis parti yang perlu senantiasa cekap dan bertindak cepat mengurus laporan disiplin yang diterima. Malah mereka ini juga yang menapis kualiti kemasukan pimpinan UMNO ke dalam parti.

Perkara lain adalah dalam usaha mengisi kejayaan dan menempatkan diri sebagai parti utama dalam kerajaan, maka BERSATU perlu membentuk dan melatih kader-kader penerangan sendiri yang berilmu, baik bertindak sebagai persisik maklumat, membalas dan menjelaskan isu.

Maka kerana itu penyusunan jentera penerangan yang membantu memberi penerangan kepada rakyat dibawah perlu dibentuk segera. Jangan biar cop dan prejudis rakyat membunuh kita walaupun ada idea-idea yang baik sedang dilaksanakan namun dek kerana kegagalan mengurus krisis komunikasi dan penerangan secara strategi, rakyat tidak nampak yang kita sedang melaksanakan janji manifesto.

Tanpa strategi dan pasukan yang menyampaikan dengan baik semuanya seperti tiada "kompas arah".
Bertenanglah semua. Berpakatlah membuat kerja. Kita tidak punya masa yang lama.

Masanya tiba untuk parti melahirkan 1,001 Dr. Mahathir baru bersama-sama sistem dalaman pengurusan parti yang mampu memperkasa survival parti untuk masa-masa akan datang.



* Muzzammil Ismail ialah Exco Armada Nasional Bersatu (Perhubungan Antarabangsa)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.