Masalah parkir awam yang sering sesak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini mendapat perhatian Kementerian Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan van perantara percuma untuk membawa orang awam dari kawasan parkir Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) ke hospital itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah yang sering mendapat rungutan orang ramai itu dan mengatasinya sementara dengan menyediakan perkhidmatan itu.

"Pihak MPK telah memberikan kebenaran untuk menggunakan kawasan parkir berhampiran hospital ini secara percuma dan untuk memudahkan orang awam, kita menyediakan dua buah van perantara untuk mengangkut mereka ke lobi HTAA dan sebaliknya.

"Saya berharap orang ramai menggunakan kemudahan yang disediakan sejak 1 Jan lalu sekali gus mengelak masalah kesesakan atau parkir bertindih di tepi jalan sekitar hospital ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dialog bersama warga kesihatan negeri Pahang.

Turut hadir Pengarah HTAA, Dr Norazmi Abdullah serta Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Sementara itu, Dr Lee turut memaklumkan bahawa kesesakan wad terutamanya di bahagian wanita dan kanak-kanak di sini akan diatasi dengan pembinaan blok baru.

"Kekangan itu akan diatasi melalui kelulusan peruntukan dan kerja-kerja pelaksanaan dalam tempoh segera...mungkin dalam tahun ini juga," katanya.

-- BERNAMA