JERLUN:Lebih 50 keluarga di Pida Empat di Jerlun, Kedah melahirkan keluhan mereka apabila terpaksa menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa bekalan air yang mencukupi.

Menurut penduduk, masalah ketiadaan air ini berlaku sejak seminggu lalu dan paling ketara menjelang petang hari raya Khamis lalu.

Jelas mereka ini membantutkan urusan seharian mereka seperti mencuci pakaian dan pada hari raya pertama semalam pinggan mangkuk tidak dapat dicuci.

Apa yang mengecewakan mereka, mereka mendakwa tidak dimaklumkan oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan berlakunya gangguan atau catuan air.

Salah seorang penduduk, Ahmad Faizal Ishak berrharap kerajaan negeri yang baharu dapat memastikan masalah itu dapat diatasi dan tidak berulang.

"Macam hari ini hari raya, air tidak ada, jadi kita terpaksa mengangkut air untuk membasuh pinggan.
Saya berharap sangat masalah ini akan ada satu perubahan akan dapat dilakukan oleh kerajaan kita yang baharu ini," kata Ahmad Faizal.

Turut terkesan anak perantauan yang pulang untuk beraya di kampung halaman tetapi mereka terpaksa tinggal di inap desa dan hotel berhampiran ekoran ketiadaan air.

Antaranya Mohd Faiz Haikal Fazil yang berkata masalah ini telah berlarutan lebih daripada empat puluh tahun namun masih tiada jalan penyelesaian.

"Seperti saya, sebagai perantau yang bekerja di Kuala Lumpur bila balik sini semenjak dua menjak ini terpaksa sewa hotel.

Bila hari raya pertama sahaja, air tiada, hari raya kedua pun air tak ada, jadi kadang-kadang kita pun naik malu jugalah dengan anak-anak, dengan isteri. Orang luar tengok," kata Mohd Faiz.

Sementara itu jurucakap SADA memaklumkan permasalahan ini berlaku ekoran kerosakan Loji Tadahan Air di Bukit Pinang yang sepatutnya membekalkan air di seluruh kawasan Jerlun.

Untuk mengatasi masalah itu SADA akan menghantar lori air untuk diedarkan kesemua rumah yang mengalami masalah bekalan air di kawasan itu.