Seorang pemilik kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki.

Tertuduh, Ismail Mohd Don, 38 tahun, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Salahuddin Ismail, 46 tahun, di sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payung, Marang antara pukul 3.15 hingga 3.45 petang pada 3 Disember lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi.

BACA: Lelaki ditemui mati dengan pisang

BACA: 3 suspek bunuh pencuri pisang ditahan

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang.

Dalam kejadian itu, tertuduh mengesyaki mangsa mencuri hasil pisang di kebunnya.