KUALA LUMPUR:Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menyiasat insiden pencemaran air Sungai Selangor yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada pagi Isnin.

Menurut menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dikerah untuk mengenal pasti punca pencemaran yang menyebabkan lebih sejuta akaun pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang terjejas.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) pagi ini sudah pergi ke tempat tersebut untuk menyiasat punca pencemaran bau.

"Untuk makluman, peringkat awal kita kesan 3 TON (Nombor Bau Nilai Ambang) tapi ia terus menurun kepada 1 TON. Kita harap ia akan berakhir dengan cepat," katanya dalam sidang media pada Isnin.

"Kementerian tidak akan sesekali berkompromi. Kita akan bertindak tegas dengan pihak yang mencemar sumber air kita dengan peraturan dan ruang kuasa Kementerian," tegasnya.

Tambahnya, siasatan sebelum ini mendapati modus operandi suspek adalah melupuskan bahan cemar ke sungai pada hujung minggu serta di antara waktu tengah malam sehingga awal pagi.

"Perkara ini berlaku pada waktu tengah malam jam 2 hingga 3 pagi atau hujung minggu.

"Mungkin waktu itu orang ramai tidak bekerja, ini diambil peluang mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau dalam pada itu menggesa orang ramai membantu pihaknya melaporkan kejadian seumpama itu. 

"Kita tidak mampu mengawal semua kilang industri dan semua tempat tertentu, oleh itu kita galakkan orang awam bantu.

"Sekiranya berlaku pencemaran, tolong segera lapor supaya kita boleh ambil tindakan," kata Tuan Ibrahim.

Tambahnya, Kementerian turut mempertimbangkan pemberian anugerah dan sumbangan kepada mereka yang melaporkan sebarang aktiviti pencemaran sehingga tertangkapnya dalang terbabit.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan media pada Isnin memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan lebih 1 juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ia berikutan LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi.

Ketika ini proses pencairan dan flushing bahan pencemaran sedang dilakukan.