Suspek kejadian amuk sehingga mengorbankan nyawa dua beradik di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai Yan, disahkan positif dadah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek berusia 49 tahun itu mendapati suspek positif dadah jenis ganja.

Jelas Meor Farid, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar mengapa dia bertindak mengelar leher mangsa sehingga mati.

BACA: 'Suspek ada datang minta maaf 2 hari sebelum kelar kejam dua anak saya'

Beliau juga memaklumkan polis telah memanggil beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan..

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dalam kejadian pada malam Selasa kanak-kanak perempuan, Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya, Muhammad Hafiz Idris, 1, dibunuh dengan kejam selepas suspek mengamuk lalu mengelar leher kedua-dua mangsa.


Bagaimanapun abang mereka, Muhammad Hakim, 7, terselamat kerana suspek dikatakan tidak mengetahui dia tidur di bilik bersebelahan bersama nenek mereka, Jamilah Ismail, 60.